Sunday, May 10, 2009

Kepedihan Masa Lalu, Ketidaktentuan Pada Masa Depan. Tetapi Masa Sekarang?

Pernahkah anda memikirkan tentang apa yang pernah anda lalui pada masa lepas, atau mungkinkah anda pernah bermimpi untuk apa yang anda inginkan pada masa depan. Kedua-dua tersebut adalah masa dan masa itu adalah satu ilusi. Kenapa saya katakan ianya satu ilusi kerana apa yang sebenarnya berlaku adalah berlaku sekarang, dalam detik anda membaca blog ini.

Apakah perasaan anda semasa memikirkan tentang perkara yang telah anda alami pada masa lampau, apa-apa pun yang anda fikirkan ianya akan memberi satu perasaan samaada gembira, sedih atau takut. Begitu juga sekiranya anda berfikir tentang masa depan. Tetapi apa yang pasti kedua-duanya masih lagi ilusi dalam minda anda sahaja. Apa yang telah berlaku pada masa lepas berlaku sekarang sebagai memori anda, dan apa yang akan berlaku pada masa depan sedang berlaku sekarang. Tetapi apa yang menentukan masa depan anda adalah apa yang anda lakukan sekarang. Itulah realitinya.

Jika ada berasa sedih atau takut kerana kesakitan yang pernah anda lalui pada masa lampau, dan mungkin berasa tidak selesa, takut, kurang yakin dengan masa depan, apakah maksud tersebut untuk anda? Ianya tetap saja ilusi. Tiada bermaksud apa-apa untuk anda pada masa sekarang, hanya perasaan sahaja.

Jadi apa yang ingin saya maksudkan disini adalah, perkara yang paling mustahak adalah masa sekarang. Masa depan dan masa lampau adalah cuma satu ikatan perasaan dan ilusi sahaja untuk anda. Apa yang ingin anda capai pada hari esok hanya boleh berlaku pada hari ini sahaja, dan ketika hari esok pula, pada masa sekarang pada waktu itu barulah ianya berlaku. Apa yang berlaku tetap sekarang, pada detik ini. Inilah masa depan anda yang bakal menjadi memori masa lepas anda. Tetapi sekarang tetap adalah realiti yang sebenarnya. Apa yang anda lakukan hari ini, itulah masa depan anda.

Jadi dengan ini, anda sebenarnya mempunyai sumber kuasa iaitu masa sekarang yang boleh anda kawal hampir sepenuhnya untuk menentukan perasaan dan juga masa depan anda. Jangan biarkan perasaan tentang ilusi menguasai diri anda, anda sepatutnya menguasai minda anda bukan minda anda menguasai anda.

No comments:

Post a Comment